Tuesday, January 04, 2005

mytheory9

mytheory9


Tsunami, Kuala Muda dan Piala Tiger


Saya baru pulang dari sana. Dari Kuala Muda, Kedah yang seminggu dua ini lebih terkenal daripada Bangsar atau Bukit Bintang. Saya di sana tak lama. Dua hari, satu malam sahaja. Mungkin kerna saya mengikuti suatu rombongan. Rombongan bantuan kemanusiaan tiada jauh bezanya dengan rombonga meminang, lebih banyak pada memberi berdasarkan permintaan. Bukan untuk berlama-lama tapi cukuplah dengan basa-basi ringkas.

Tsunami ini mengejutkan. Sewaktu di Tak Bai sebelum ini, atau di Bam agak lama dulu, saya memang terperanjat melihat manusia seperti saya mati bergelimpangan. Bergelimpangan manusia yang mati tak sama dengan bergelimpangan ayam mati. Kerna manusia itu semacam kita miripnya. Punya mata, telinga, hidung dan otak. Mereka juga punya anak-pinak, suku-sakat dan sahabat-handai. Lalu melihat manusia mati bergelimpangan itu tak jauh seperti melihat kita sendiri mati. Terbayang-bayang di mata.

Tak Bai teruk selepas tragedi berdarah. Bam juga punya liang lahad bermeter-meter untuk di isi mayat-mayat. Waktu itu dapat kita lihat manusia meratap-ratap menangisi nasib. Memang mati itu sangat menakutkan.

Tapi di sini tak sama. Kerna selepas 20 tahun saya hidup di dunia ini, saya telah dibiasakan dengan gelaran 'rakyat Malaysia'. Di Tak bai, yang mati itu adalah 'Rakyat Thailand' dan di Bam, yang mati itu adalah 'rakyat Iran'. Walaupun semuanya Muslim, saudara-saudara sama pegangan dengan kita, namun panggilan nasionalisme itu bagaikan lebih besar dan telah menjarakkan saya dan mereka.

Tapi di sini, yang saya lihat itu adalah rakyat Malaysia. Berbangsa Melayu dan beragama Islam. Walaupun seperti mana anak-anak muda lain yang bercita-cita untuk duduk di bawah satu khalifah kerajaan Islam, tanpa batas-batas negara, visa dan pasport, dalam tak sedar pengaruh nasionalisme itu masih kuat berbekas dalam diri saya.

Kemusnahan yang saya lihat itu adalah milik saudara-mara saya di Kedah. Mereka bukanlah peniaga yang kaya-raya atau nelayan laut dalam yang beroleh tiga, empat ribu sebulan. Mereka ini orang yang dhaif. Sewaktu berada tak lama di sana, kesedihan itu masih kuat dirasai.

.......................


Saya sangat terkilan bilamana mengetahui banyak sekali helah-helah berlaku di sebalik tragedi ini.

Pertamanya pabila saya mengetahu bahawa alatan seismograf yang dibeli oleh universiti tempatan lebih kepada penyelidikan dan bukanlah untuk digunakan untuk kepentingan awam. Lebih-lebih lagi bila mengetahui alat-alat berharga berpuluh-puluh ribu itu adalah model yang cukup ketinggalan zaman dan langsung tidak efektif.

Keduanya bila mengetahui bahawa tragedi di Acheh telah berlaku berjam-jam sebelum ombak besar itu tiba di pantai Semenanjung Malaysia. Saya cukup hairan dengan media yang langsung tidak mengkhabarkan tentang tragedi ini lebih awal, sedangkan berita-berita asing seperti AFP dan Reuters telah mengetahui hal ini dan telah meramalkan kemungkinan ombak besar dikawasan tak terlindung. Lebih mengejutkan apabila Pusat Kajian dan Amaran Tsunami yang berpusat di Amerika telah memberikan amaran sejam lebih awal sebelum ombak itu datang menghempas pantai Malaysia. Kita berpura-pura seolah-olah ia tidak terduga sedangkan Allah telah memberikan kemuliaan kepada kita dengan ilmu pengetahuan. Kenapa enggan kita manfaatkan?

Lebih menyakitkan hati apabila mengetahui bahawa sistem amaran di hotel-hotel peranginan telah berjaya menyelamatkan ramai pelancong. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada tuhan kerna mengurangkan bilangan yang terkorban. Tapi yang tidak saya fahami, di kawasan peranginan berdekatan dengan hotel-hotel itu ada yang terkorban. Dan jauh lebih menyakitkan, nelayan-nelayan kehilangan begitu banyak pemilikan kerna ketiadaan amaran. Ini bermakna kita punya sistem amaran, tetapi hanya dikhususkan kepada kawasan elit. Adakah nyawa itu berbeza kerana insurans yang dibeli mereka?

Kerajaan telah bertindak pantas mengatasi masalah ini. Syabas saya ucapkan. Rumah-rumah singgah sementara telah mula dibina dan dalam masa tak kurang dua minggu akan disipakan. Bantuan kewangan, pakaian, ubat-ubatan telah diedarkan secepat mungkin kepada semua mangsa. Semua itu usaha yang bagus dan wajar. Namun yang menjadikan suasana agak luar biasa adalah ketiadaan suatu badan khas untuk menangani permasalahan tragedi seperti ini. Bantuan datang mencurah-curah tapi tidak terkawal. Ada pihak mengambil kesempatan mengambil bantuan milik mangsa sedangkan yang hak tidak mendapat. Ada rumah-rumah mangsa yang dipecah dan dicerobohi. Sudah jatuh, ditimpa pula tangga. Seolah-olah kita tidak punya jabatan bacian dan tidak punya rekod penduduk. Seolah-olah yang bekerja semuanya rakyat tanpa organisasi dan polis, JPA3 dan lain-lain hanya berehat.



Saya tidak mahu memberi komen tentang: Apakah ini? Bala, ujian atau sekadar hukum alam. Ia boleh jadi apa saja dan boleh memberi sejuta satu maksud.

Ia adalah BALA bagi umat Islam yang telah bersuka-suka dengan kalimah dosa dan tidak merasa berdosa pada kesalahan mereka. Bala kerana alpanya mereka dan rasa besar dan riaknya mereka dengan pengetahuan mereka. Bala kerna tidak mahu beriman dengan Allah, mengajak pada kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Ujian pada hamba-hambanya yang sabar. Ujian pada mereka telah berusaha tiap-tiap hari untuk mendapat rezeki yang halal dan kini usaha mereka terganggu. Ujian buat umat yang baru bertatih untuk memahami erti jalan yang yang lurus. Ujian, kerna tak dapat ditentukan imannya manusia jika tidak diuji.


..............

Lalu semalam, dalam riuk pikuk itu Malaysia telah kalah 1-4 kepada Indonesia. Maka dalam sedih dan sengkek itu, manusia masih punya upaya untuk menyumpah seranah demi sebiji bola.

" Indonesia telah bomohkan kita"

Jika menang, kitalah Harimau Malaya. Kitalah boleh dan persetankan semua kerna mereka hanya bangan-bangang semua. Dan bila kalah.. "Eh, itu merekalah juga yang jahanam. KIta mana mungkin salah".

Malaysia negara Islam bilang Dr Mahathir. Indonesia itu negara dengan umat Islam teramai di dunia kata Encyclopedia Britiannica.

Ya, tahniah.

Tahniah pada Malaysia yang kalah dan Indonesia yang menang. Tanhiah pada penyokong-peyokong yang sudi menambah saham dengan memaki hamun berbakul-bakul. Tahniah pada penyokong Indonesia yang sakan berjoget.

Menang jadi arang, kalah jadi abu.

Kucuplah Piala tiger itu bila ada pemenangnya nanti. Harapnya bila sudah terkucup itu sedarlah semua bahawa itu Piala Tiger Beer. Dan arak itu haram.

Jika sebodoh itulah kita, sejahil itulah kita, tsunami berskala 11.0 yang mampu menenggelamkan KLCC pun tidak bisa mengubah apa-apa.

Tidak bisa.

2 Comments:

At 6:16 AM, Anonymous Anonymous said...

Very nice site! » »

 
At 11:24 PM, Anonymous Anonymous said...

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! Provigil children Volvo 1800e rim size Download fast file undelete Porsche camen Effects of ultram on body fibromyalgia ultram hypnosis online stop smoking releave depression stop smoking

 

Post a Comment

<< Home